Berniat Ihram Umrah (Rukun) Dan Berniat Ihram Di Miqat (Wajib)

Bagi jemaah yang memasuki Makkah melalui Madinah, menjadi kelaziman kenderaan yang membawa jemaah akan singgah di miqat Bir Ali untuk berniat ihram umrah di situ.
Apabila bas mahu mula bergerak dari miqat Bir Ali menuju ke Makkah, jemaah hendaklah berlafaz niat umrah dalam keadaan mengadap kiblat jika keadaan mengizinkan (al-Nawawi 1994).

Lafaz niat umrah adalah seperti berikut:

Maksudnya :

“Sahaja aku berniat umrah dan berihram dengannya kerana Allah Taala”

 

  •  Bagi jemaah yang masuk ke Makkah melalui Malaysia, wajib berniat ihram sebelum kapal terbang melepasi miqat Qarn al-Manazil, iaitu sekurang-kurangnya satu jam sebelum kapal terbang mendarat di lapangan terbang Jeddah.

 

  • Jika jemaah berniat selepas melepasi miqat, niat ihramnya sah namun diwajibkan menyempurnakan dam serta berdosa jika dilakukan dengan sengaja. Jika tidak sengaja, dia tidak berdosa namun tetap wajib menyempurnakan dam. Jenis dam yang dikenakan ialah dam tertib dan taqdir (al-Nawawi 1994).

 

  • Semasa melaksanakan umrah dalam suasana norma baharu, jemaah dicadangkan berniat bersyarat secara umum seperti berikut:

“Sahaja aku berniat umrah dan berihram dengannya kerana Allah Taala, sekiranya aku berhalangan dengan halangan syarak sehingga aku tidak mampu meneruskan kerja-kerja umrah maka aku bertahallul”

 

Apabila berlaku sesuatu perkara mendatang seperti jatuh sakit, patah kaki, epilepsi, koma, hilang akal, kemalangan, menghadapi masalah haid sehingga tidak dapat menyelesaikan kerja-kerja umrah sehingga hari pulang, dihalang daripada memasuki Makkah atau Masjidil Haram dan sebagainya dan perkara-perkara tersebut menyebabkan jemaah tidak dapat meneruskan kerja-kerja umrah, jemaah hendaklah bergunting (sekurang-kurangnya tiga helai rambut) atau bercukur disertai dengan niat untuk bertahallul (keluar daripada ihram). Dengan itu, jemaah barulah dikira terkeluar daripada ihram umrah dan dia juga tidak terikat lagi dengan kerja-kerja umrah dan tidak dikenakan menyembelih haiwan dam (al-Kaf 2003).

 

Dalam konteks umrah norma baharu ini, ketua rombongan atau mutawwif yang bertanggungjawab terhadap kumpulannya yang menghadapi situasi-situasi ini hendaklah berperanan dalam membuat keputusan waktu yang tepat untuk jemaahnya bertahallul (keluar daripada ihram). Ini kerana penggunaan lafaz “aku bertahallul” tidak menjadikan jemaah terkeluar secara automatik daripada ihram umrah apabila berlaku halangan-halangan tersebut melainkan apabila jemaah bergunting (sekurang-kurangnya tiga helai rambut) atau bercukur disertai dengan niat untuk bertahallul (keluar daripada ihram). Ini berbeza jika menggunakan lafaz
“aku meniadi halal” yang mana jemaah terkeluar secara automatik daripada ihram umrah dan tidak terikat lagi dengan kerja-kerja umrah apabila berlakunya halangan-halangan tersebut (al-Kaf 2003).

 

Penggunaan lafaz “aku bertahallul” dalam situasi-situasi umrah norma baharu ini kelihatannya lebih sesuai berbanding “aku menjadi halal” kerana ia sangat berkait dalam membuat keputusan yang tepat untuk keluar daripada ihram umrah pada waktu yang sesuai. Ini memandangkan peraturan-peraturan semasa di Arab Saudi atau di Masjidil Haram boleh bertukar bila-bila masa sahaja.

 

Perhatian:

 

  • Jika jemaah tidak berniat bersyarat seperti yang dinyatakan sebelum ini, kemudiannya berlaku sesuatu halangan daripada meneruskan kerja-kerja umrah tersebut, untuk keluar daripada ihram umrah jemaah hendaklah melakukan tahallul ihsar dengan segala peraturannya.
  • Wanita dalam keadaan haid tidak dihalang daripada berniat umrah. Dia tetap wajib berniat umrah di miqat atau sebelum kenderaan melintasi garisan miqat selama mana dia mempunyai hasrat untuk melakukan umrah (al-Fatani t.th; al-Nawawi 1994).
  • Bagi wanita yang sedang suci dan menjangkakan haidnya akan tiba selepas berniat ihram dinasihatkan supaya berniat secara bersyarat. Ini adalah bagi mengelakkan timbulnya masalah terutamanya jika tidak dapat menyempurnakan kerja-kerja umrah sedangkan waktu untuk pulang ke Tanah Air atau pergi ke Madinah sudah hampir dan haidnya masih belum kering. Lafaz niat umrah secara bersyarat seperti berikut:

“Sahaja aku berniat umrah dan berihram dengannya kerana Allah Taala, sekiranya aku kedatangan haid sebelum selesai tawaf maka aku jadi halal”.

  • Jika haid datang sebelum memulakan tawaf atau sebelum selesai tawaf, secara automatik terlepaslah dirinya daripada larangan ihram dan dia juga tidak terikat lagi dengan kerja-kerja umrah.
  • Jika haidnya datang selepas selesai tawaf, jemaah boleh meneruskan kerja-kerja umrah yang berbaki iaitu saie dan bergunting kerana dua rukun umrah ini tidak disyaratkan suci daripada hadath besar dan kecil.
  • Wanita ini boleh juga memilih lafaz niat bersyarat berikut:

“Sahaja aku berniat umrah dan berihram dengannya kerana Allah Taala, sekiranya aku kedatangan haid dan haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku”

  • Jika haid datang, jemaah wanita ini hendaklah menunggu sehingga haidnya kering. Seterusnya mandi wajib dan melakukan tawaf, saie dan bergunting.
  • Jika haidnya berterusan sehingga hari pulang, secara automatik terlepaslah dirinya daripada larangan ihram dan dia juga tidak terikat lagi dengan kerja-kerja umrah apabila kenderaan yang dinaikinya mula keluar dari Tanah Haram Makkah.
  • Jemaah yang menaiki keratapi di Stesyen  Keretapi Madinah, pada kebiasaanya petugas dalam keretapi akan membuat pengumuman tidak lama selepas keratapi mula bergerak.

 

 


 

Klik Di Sini Untuk Join Telegram

Klini Untuk Join Telegramik Di S

Klik Di Sini Untuk Join Telegram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *