Persiapan Sebelum Menunaikan Umrah/Haji

.

.

.

.

Ibadah Umrah/Haji merupakan ibadah yang wajib dilaksanakan oleh setiap orang Islam yang mampu sekurang-sekurangnya sekali seumur hidup. Ibadah ini memerlukan pelaburan wang yang banyak dan bagi ibadah haji pula anda perlu ikut giliran kerana ada kuota. Justeru, apabila anda mendapat panggilan  dan mampu untuk ke Tanah Suci gunakan peluang keemasan ini dengan sebaiknya. Pastikan anda membuat persiapan yang rapi sebelum berangkat ke sana. Berikut merupakan antara persiapan diri yang perlu anda lakukan sebelum pergi menunaikan haji/umrah.

.j

1.Niat

 

Setiap amalan akan dinilai Allah berdasarkan niat (Hadis 40 karangan Imam Nawawi). Justeru, anda perlu sentiasa memperbaharui niat iaitu melaksanakan ibadah umrah/Haji adalah hanya kerana Allah SWT bukan disebabkan tujuan lain seperti sekadar mengikut orang lain atau apatah lagi melancong.

Sentiasa jaga hati masing-masing supaya dijauhkan daripada sifat riak atau menunjuk kerana merasakan diri lebih baik daripada orang lain serta mempunyai kewangan yang lebih. Jika terlintas perasaan riak segeralah beristighfar kepada Allah kerana kita tidak dapat lari daripada bisikan syaitan.

Ketika berada di Tanah Suci fokus kepada ibadah anda bukan sibuk mengambil gambar selfie untuk muat naik ke dalam sosial media. Cuba kurangkan perkara ini untuk mengelakkan daripada sangkan buruk orang lain. Tidak salah untuk bergambar tetapi letakkan had dan sentiasa memperbetul niat kita.

.

2.Ilmu Pengetahuan

Islam menekankan ilmu yang benar dan sahih dalam setiap amal ibadat khusus yang kita laksanakan seperti solat dan puasa berpandukan hadis sahih Rasulullah SAW. Begitu juga dengan ibadah Umrah/Haji, setiap jemaah perlu hadir ke kelas bimbingan Umrah/Haji yang disediakan oleh pihak agensi atau Tabung Haji sebagai persiapan diri. Korbankan masa lapang anda untuk hadir ke kelas bimbingan atau jika terlalu sibuk cuba sebaiknya untuk cari masa seperti ambil cuti. Persiapan ilmu sangat penting untuk para jemaah supaya ketika melaksanakan umrah/haji anda lebih yakin dan tahu serta faham setiap rukun yang akan dilakukan bukan hanya ikut orang lain.

Untuk pergi ke Tanah Suci bukan murah dan perlu masa untuk anda kumpul duit. Bagi sesetengah orang mungkin mampu pergi sekali sahaja seumur hidup. Justeru, pastikan ibadah umrah/haji yang anda laksanakan diyakini dilakukan dengan betul berdasarkan ilmu yang telah anda pelajari. Jangan sia-siakan peluang sekali seumur hidup ini.

Telah bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Dari Anas RA, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang keluar untuk mencari atau menuntut ilmu, maka dia adalah orang yang berjihad fi sabilillah sehingga ia kembali”. (Riwayat oleh Tirmidzi)

 

3.Kewangan

 

Aspek kewangan merupakan aspek yang sangat penting sebagai persiapan ibadah umrah/haji kerana setiap jemaah memerlukan wang yang secukupnya untuk menampung kos penerbangan, makanan, penginapan dan sebagainya. Untuk ibadah haji, jemaah boleh pergi dengan Tabung Haji kerana lebih murah setelah mendapat subsidi daripada pihak kerajaan. Untuk ibadah umrah pula, jemaah boleh pergi dengan Tabung Haji atau agensi umrah yang berdaftar.

Pastikan anda mengkaji dan periksa sebaiknya agensi umrah yang anda daftar. Dunia sekarang dihujung jari. Anda boleh periksa melalui internet seperti facebook dan laman web atau tanya kepada rakan-rakan yang ada pengalaman menunaikan umrah dengan agensi berkenaan. Hal ini sangat penting untuk elakkan anda daripada ditipu kerana bukan sedikit wang yang akan dilaburkan. Pastikan servis yang disediakan juga yang terbaik seperti mutawif yang berpengalaman dan penerbangan secara terus, bukan sekadar pilih disebabkan murah sahaja.

Ketika berada di Tanah Suci, anda juga perlu sediakan wang secukupnya sebagai persediaan untuk membayar dam atau mengupah orang untuk menolak jika tidak mampu berjalan ketika Tawaf dan Saie. Jika terdapat lebihan wang anda boleh gunakan untuk membeli belah atau bersedekah kepada fakir miskin.

 

4.Dokumen Penting

 

Sebagai persiapan umrah/haji, anda perlu sediakan beberapa dokumen penting untuk membenarkan anda menjejakkan kaki ke negara Arab Saudi. Setiap jemaah perlu mempersiapkan:

  • Passport
  • Gambar Visa latar belakang putih
  • Imunisasi Vaksin Meningococcal Quadrivalent (ACYW-135)
  • Dokumen Perhubungan yang disahkan jika pergi dengan mahram
  • Visa (diuruskan oleh agensi)
  • Insurans Takaful (diuruskan oleh agensi)

Pastikan semua dokumen di atas lengkap dan disahkan mana yang perlu. Rujuk pihak agensi untuk mendapatkan info dan keterangan lanjut. Jangan risau dan rujuk mereka sepenuhnya.

 

5.Berjumpa Doktor

 

Untuk yang sedia ada mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi atau sebagainya pastikan anda berjumpa doktor terlebih dahulu untuk mendapatkan nasihat berkaitan kesihatan. Pastikan anda bawa ubat-ubatan yang diperlukan dan boleh kongsikan masalah kesihatan anda kepada mutawif supaya beliau maklum. Terutamanya untuk pesakit buah pinggang yang memerlukan dialisis perlu berbincang dengan pihak agensi bagi menguruskan urusan dialisis ketika berada di Tanah Suci. Untuk anda yang sihat, sediakan ubat-ubatan yang biasa seperti Panadol, minyak angin dan lain-lain yang dirasakan perlu.

 

6.Membersihkan Diri

 

Untuk pergi menjadi tetamu Allah di Tanah Suci pastikan jiwa dan hati kita bersih daripada dosa-dosa besar mahupun kecil. Banyakkan solat sunat taubah dan sentiasa meminta keampunan kepada Allah SWT. Memohon maaf kepada orang dan ahli keluarga jika ada berbuat kesalahan. Rapatkan ukhuwah yang telah renggang dan berdamailah untuk menamatkan sengketa. Jika berhutang langsaikan dengan segera jika mampu.

Selain itu, banyakkan amalan-amalan sunat lain seperti solat sunat tahajud, membaca Al-quran, berzikir dan bersedekah supaya kita terbiasa dengan amalan-amalan ini dan memudahkan kita untuk melaksanakannya jika berada di Tanah suci. Sudah tentu ganjarannya berlipat kali ganda jika diamalkan di sana. Terutamanya amalan Solat Jenazah, pastikan anda tahu cara melaksanakannya kerana di sana selepas setiap solat fardhu akan dilaksanakan solat jenazah.

Dan orang yang paling bertakwa akan dijauhkan dari api neraka, yaitu orang yang menginfakkan hartanya serta menyucikan dirinya.” (Surah Al-Lail/92: 17-18).

 

7.Fizikal

 

Lakukan amalan senaman mengikut kemampuan masing-masing. Persiapan fizikal amat penting kerana ibadah umrah/haji memerlukan kita untuk banyak berjalan. Jadi biasakan melakukan senaman seperti berjoging, berjalan kaki atau senaman ringan mengikut kemampuan anda.

 

 

 

=====

Klik Di Sini Untuk Join Telegram

Klik Di Sini Untuk Join Telegram

Klik Di Sini Untuk Join Telegram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *